Setiap kali di hospital untuk kimo, aku selalunya pasti akan tertidur sepanjang proses masuk ubat. Kadang-kadang khayal terbuai dan terasa ubat menjalar melalui urat saluran darahku. Rasa sejuk juga mengundang rasa mengantuk yang hebat. Tetap juga aku terlelap walau kuat derapan kaki jururawat yang sibuk ke sana ke mari melayan pesakit.
Ada ketika ubat itu menjadikan kepalaku terasa panas dan hampir muntah. Tapi memang kebanyakan kalinya aku pasti tidur ketika proses itu. Hanya tersedar apabila misi nak tukar ubat aku atau sudah selesai sahaja.
Aku tidur kerana aku tak mahu terlalu banyak berfikir. Selalunya aku akan berfikir terlalu banyak setelah memerhati teman-teman senasib. Ada banyak kisah kanser di sekeliling aku. Kanser bukan sekadar satu diagnosis perubatan, ianya juga kisah perjalanan peribadi yang mendalam. Rasa sakit yang mengundang pelbagai perasaan. Hanya mahu kalah menyerah atau melawan sakitnya itu..
Tapi semenjak dua menjak ni aku dah jarang tertidur ketika berada di klinik onkologi ini. Aku melilau melihat sekeliling. Kemudian rasa yang kuat untuk menulis di sini. Kadang-kadang di pertegahan penulisan, aku terhenti seketika dan berkata di dalam hati, bagaimana kalau aku sudah meninggalkan dunia ini dan tulisan ini masih ada lagi... ?
Aku padam semula.
Siapa yang mahu membaca kisah ini?
Ada ramai lagi yang sakit di luar sana. Mereka tenang dan tidak menulis-nulis merengek sakit seperti aku.
Aku terdiam dan menghentikan penulisan yang tadinya panjang. Mungkin cukup sedikit sahaja lah aku menulis.
Aku mengambil gambar sendiri, nak lihat bagaimana rupa aku tidur selama ini dan dilihat misi-misi. Aku kemudiannya menjadikannya di dalam mode hitam putih.
Lalu kuabadikan di sini.
Entah.
Mungkin umur panjang aku padam semula segalanya.
Tak siapa tahu takdir apa yang ada di hadapan..
Nikmati dan syukuri
![]() |
Love-hate relationship with drugs ♥️💋 |
Juwita Maya 💜
No comments:
Post a Comment