Semenjak sakit, aku tidak berpeluang untuk mengunjungi kubur mak. Rindu sangat walau aku hanya dapat menatap nisan kaku. Tiada yang membalas segala kata-kata aduan dan pertanyaanku di situ. Tiada tangan yang menyeka air mata aku. Alhamdulillah, sebelum memulakan rawatan radioterapi, aku berpeluang untuk balik sebentar.
Memasuki kawasan perkuburan, seolah hilang segala lelah dan sakit di badanku..
Sunyi sepi tanah perkuburan itu.
Secara peribadi, aku tidak suka bicara soal kehilangan. Aku tidak terlalu terbuka dalam menzahirkan rasa pedihnya kehilangan. Ditinggal pergi itu terlalu perit untuk dibicarakan. Sepertinya terlalu pahit diberitahukan pada dunia rasa hibanya. Apatah lagi apabila kita tidak dapat mendengar kata-kata akhir, kata perpisahan. Kata pemutus bahawa semuanya telah pun berakhir. Sangat sakit untuk ditelan. Sakit.
Mak pergi dengan tenang di dalam tidurnya. Aku tidak akan pernah lupakan pagi yang sunyi itu... berita yang merentap segalanya..berita dan petanda bahawa aku telah menjadi yatim piatu. Tidak pernah terpadam saat terakhir aku melihat wajah mak di pembaringan abadi sebelum ditutup dengan tanah. Pada waktu itu aku tersedar dari lamunan, aku sedar bahawa itu adalah kali terakhir aku akan dapat menatap wajah itu. Lalu aku menyeka mata yang kabur dengan airmata untuk melihat dengan jelas wajah itu lagi untuk kali terakhirnya.
Tiada lagi panggilan untukku, tiada lagi insan mulia yang menyayangi aku tanpa syarat apapun. Tenang sekali mak pergi di subuh sunyi..
Dunia tanpa doa ibu itu berat sekali. Aku tahu, berlarut-larut dalam kesedihan itu bukan satu perkara yang baik untuk diteruskan. Let me grieve the way i need to.
Ya Allah, tempatkan Ibuku di Taman syurga.
Haramkan api neraka dari menyentuh tubuhnya.
Rasanya, mak memang terlalu sibuk di taman syurga, sebab tak pernah sekali pun mak muncul di dalam mimpi.
Tak sabar nak berlari-lari bersama mak di dalam syurga. Kita berkumpul di Syurga Firdausi 💜
Juwita Maya
#Cancerfighter
#stillfighting
🎗️
"Health is the crown that the healthy wear on their heads. But only the sick can see it."
-Imam Al-Shafi'e-
No comments:
Post a Comment