Assalammualaikum Ungu…
Walau rasa seperti tidak mahu lagi menulis,
namun hati ini telah sebati dengan ingin rasa menulis walau sedikit. Tenaga
terbatas, namun jiwa masih mahu menulis dan mencoretkan sedikit rasa.
Alhamdulillah dengan segala nikmat dan Kesihatan
yang telah Allah kurniakan kepada setiap hambaNYA. Allah jugalah pemilik
segalanya termasuk Kesihatan aku yang telah Allah ambil dengan penuh kasih sayang.
Allah uji kerana Allah sayang. Cara Allah menunjukkan sayangNya dengan cara
Allah menguji kita. Sepertimana kita mahu anak kita sihat, pasti kita akan
suapkan ubat yang pahit. Begitu juga kasih sayang Allah yang punya
perancangannya yang tersendiri. Pahit. Tapi indah anugerah sakit ini. Allah
berikan hadiah Kanser yang penuh hikmah dan peluang untuk Kembali kepadaNYA.
Seperti aku lihat Allah menyambutku Kembali dengan kedua tangannya dengan penuh
sayang untuk mendengar segala keluh kesahku. Allah juga sebaik tempat mengadu. Perihal
kecil pun aku merengek dan mengadu pada Allah. Aku telah pun mendapat peringatan
dan ‘tiket’ untuk ke alam yang abadi. Cuma, tidak tahu bilakah perjalanannya.
Sungguh, aku tidak takut untuk mati. Kerana mati
itu pasti akan datang mengikut apa yang telah Allah tentukan. Aku Cuma takut
jikalau aku meninggalkan anak-anakku, adakah insan yang sudi mencintai dan
menjaga anak-anakku dengan penuh kasih sayang seperti aku. Hidupku hanya untuk
anak-anakku. Sebagai seorang ibu, pasti ingin melihat proses kedewasaan
anak-anak. Aku mahu lihat anakku membesar, belajar di university, Berjaya dan
berkahwin. Semua ibubapa mengimpikan kesempuraaan dan kebahagiaan anak-anaknya.
Aku risau jikalau Allah tidak mengizinkan aku melihat semua itu. Aku merayu di
malam sunyi, aku minta pada Allah, berikan aku hidup. Aku mahu mendoakan anak-anakku.
Aku menangis untuk nyawaku. Segala cinta dunia ini tidak aku dambakan lagi. Aku
cuma mahukan cinta Allah dan cinta anak-anakku.
Kemana
hati ini ingin dibawa jikalau bukan pada ALLAH? Kanser ini bukan hukuman mati tapi anugerah
yang terindah dari ALLAH. Aku redha dengan segalanya. Terimalah aku wahai Tuhan
pemilik langit dan bumi. Hidupkan aku dengan kebaikan dan matikanlah aku dengan
kebaikan. Permudahkanlah sakaratul ku jika mati itu baik untukku…
permudahkanlah perjalanan aku menuju kesembuhan jikalau kesembuhan ini baik
untukku.. Ku serah diri ini kepadaMU Ya Allah.. aturlah segalanya untukku. Biar
segala dosaku menjadi debu dan aku pergi menghadapMu dengan hati dan jiwa yang
bersih. Kerana setiap Impian orang yang beriman itu mahu Kembali kepadaMu
dengan jiwa yang tenang dan bersih dari segala dosa. Semoga aku juga termasuk
di dalam kalangan Hamba yang Engkau cintai Ya Allah…Amin…
