Rindu..

 




Assalammualaikum Ungu…

Walau rasa seperti tidak mahu lagi menulis, namun hati ini telah sebati dengan ingin rasa menulis walau sedikit. Tenaga terbatas, namun jiwa masih mahu menulis dan mencoretkan sedikit rasa.

Alhamdulillah dengan segala nikmat dan Kesihatan yang telah Allah kurniakan kepada setiap hambaNYA. Allah jugalah pemilik segalanya termasuk Kesihatan aku yang telah Allah ambil dengan penuh kasih sayang. Allah uji kerana Allah sayang. Cara Allah menunjukkan sayangNya dengan cara Allah menguji kita. Sepertimana kita mahu anak kita sihat, pasti kita akan suapkan ubat yang pahit. Begitu juga kasih sayang Allah yang punya perancangannya yang tersendiri. Pahit. Tapi indah anugerah sakit ini. Allah berikan hadiah Kanser yang penuh hikmah dan peluang untuk Kembali kepadaNYA. Seperti aku lihat Allah menyambutku Kembali dengan kedua tangannya dengan penuh sayang untuk mendengar segala keluh kesahku. Allah juga sebaik tempat mengadu. Perihal kecil pun aku merengek dan mengadu pada Allah. Aku telah pun mendapat peringatan dan ‘tiket’ untuk ke alam yang abadi. Cuma, tidak tahu bilakah perjalanannya.

Sungguh, aku tidak takut untuk mati. Kerana mati itu pasti akan datang mengikut apa yang telah Allah tentukan. Aku Cuma takut jikalau aku meninggalkan anak-anakku, adakah insan yang sudi mencintai dan menjaga anak-anakku dengan penuh kasih sayang seperti aku. Hidupku hanya untuk anak-anakku. Sebagai seorang ibu, pasti ingin melihat proses kedewasaan anak-anak. Aku mahu lihat anakku membesar, belajar di university, Berjaya dan berkahwin. Semua ibubapa mengimpikan kesempuraaan dan kebahagiaan anak-anaknya. Aku risau jikalau Allah tidak mengizinkan aku melihat semua itu. Aku merayu di malam sunyi, aku minta pada Allah, berikan aku hidup. Aku mahu mendoakan anak-anakku. Aku menangis untuk nyawaku. Segala cinta dunia ini tidak aku dambakan lagi. Aku cuma mahukan cinta Allah dan cinta anak-anakku.

 Kemana hati ini ingin dibawa jikalau bukan pada ALLAH?  Kanser ini bukan hukuman mati tapi anugerah yang terindah dari ALLAH. Aku redha dengan segalanya. Terimalah aku wahai Tuhan pemilik langit dan bumi. Hidupkan aku dengan kebaikan dan matikanlah aku dengan kebaikan. Permudahkanlah sakaratul ku jika mati itu baik untukku… permudahkanlah perjalanan aku menuju kesembuhan jikalau kesembuhan ini baik untukku.. Ku serah diri ini kepadaMU Ya Allah.. aturlah segalanya untukku. Biar segala dosaku menjadi debu dan aku pergi menghadapMu dengan hati dan jiwa yang bersih. Kerana setiap Impian orang yang beriman itu mahu Kembali kepadaMu dengan jiwa yang tenang dan bersih dari segala dosa. Semoga aku juga termasuk di dalam kalangan Hamba yang Engkau cintai Ya Allah…Amin…

 

Juwita Maya 💜


" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"