Semoga Allah berikan aku kekuatan di tahun-tahun mendatang sekiranya diberikan peluang untuk sembuh dan sihat .. Allah maha penyayang Allah maha Pengampun 🎗️💜

Terima kasih Allah atas peluang dan nyawa ini..

H.O.P.E 🎗️

 


Assalamualaikum Ungu..

Sukar sekali untuk tidak hadir di sini mengisi segala keluhan dan perasaan.

Sesambil melayani pening kesan kimoterapi dan luka pembedahan yang masih belum sembuh sepenuhnya.. Terima kasih Allah dengan segalanya. Sebenarnya aku malas nak share pasal ni..tapi, aku dan Ungu bagaikan isi dengan kuku. Janggal sekali jika tidak kutuliskan rasa yang satu ini. Cuma aku tak akan bercerita dengan sedalamnya keadaan aku ketika ini. Hanya melepas rindu dan rutin selalunya antara aku dan Ungu.

Sakit dan pedih di bahagian tubuh ini seperti menarik aku untuk idamkan suasana pantai yang menjadi kegemaran aku untuk melihat matahari terbenam. Aku tenang dengan suasananya.

Berapa kali juga aku tak dapat balik kampung atau ke mana-mana berikutan masalah kesihatan yang tidak menentu. Rindu nak pergi ke kubur mak. Mesti mak tertanya kenapa aku dah lama tak melawat kan. Tapi doa tidak pernah lupa dikirimkan untuk bidadari jiwaku.. Tidak ada satu manusia di atas dunia ini yang sama seperti ibuku. Tiada.

Hari-hariku penuh dengan jadual hospital. Radiotherapy pun masih belum dapat date lagi. Itulah, dulu aku tak suka hospital sekarang hospital lah rumah kedua aku. Dulu aku tak suka hospital kerana selalu ada kisah duka sekarang aku rasa tenang sahaja bila berada di sini kerana aku sandarkan harapan di dalamnya. Jangan benci sangat, kan dah kena sayang hehe..

Semalam aku drip herceptin untuk kali ke tujuh. Sejuk sangat di dalam klinik oncology tu sampai ke tulang. Rupanya hujan lebat di luar. Al hasil, hari ni hidung aku duk tersumbat je. Erm..nampaknya kena bawak sweater yg lagi tebal. Tak pun angkut toto pergi hospital 🤣.


Mata aku pun dah semakin lama semakin merabunkan dirinya kesan dari ubat kimo. Pergi kedai spek asyik la kena reject sebab aku on medication so tak boleh nak buat takut power akan berubah. Nasib la labu, dah la hantar whatsapp kat orang asyik typo. Apooooo...

Ungu, nak tahu tak apa yg best sekarang? eyebrows dan rambut aku dah tumbuh balik. Yeaaaa....

Ungu, janji ya kita hadapi semua ini bersama. Janji ya akan dengar segala yang aku luahkan di sini. Semalam aku termenung dan berkira rasa yang aku tak nak lagi menulis. Tapi tapi tapi.. Aku rindu sangat nak merepek-merepek.. Sekurangnya aku lupa la jugak penyakit aku ni hehe..

Dua hari lalu, seorang lagi cancer fighter meninggalkan kami.. Al Fatihah Ain..Kami masih lagi berjuang..Semoga tenang di alam abadi. 

Teringat kata-kata motivasi Ain, Ain kata Teruskan rawatan, makan secukupnya, fikir benda yang positif je. Rupanya bermatian jugak kita nak positif kan. Kanser tak tinggalkan Ain, tapi Ain yang tinggalkan kami 😢. 



Itulah takdir yang sudah ditulis untuk kita.. Takdir yang tidak dapat kita nafikan kerana semua itu ada hikmah dan kebaikan di dalamnya.Walau berat ujian ini, selagi ada hayat aku akan melawan. 

Semoga Allah terus memberikan aku peluang untuk melihat anak-anakku dewasa dan berjaya. Amin.. 

Juwita Maya ..





Masih berjuang

 


Dear Ungu 💜,

Telah banyak yang telah kutempuhi di dalam hidup ini..

Ada banyak perjuangan dan pengorbanan..

Dan kini, saat ini, aku sedang berjuang untuk hidup dan mengharap belas kasihan dari tuhan.

Ungu,

Sekiranya aku kalah dengan penyakit ini satu hari nanti, percayalah aku telah berjuang melawannya..

أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَانْتَ أَرْحَمُ الرَّحِمِينَ

"Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit, dan Engkau adalah Zat yang paling berbelas kasih dari para makhluk yang memiliki belas kasih"

Juwita Maya ..

2.0.2.5 🎗️





Akhiri 2024 dengan seribu satu cerita


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ


Ya Allah, terima kasih masih dipinjamkan nafas dan nyawa 💜. Nikmat dariMU yang tidak terhingga..


Aku hanya hamba yang penuh dosa namun kau berikan nikmat bersama rezeki yang tiada putusnya.


Semasa mula menerima ujian ini, sukar untuk redha dan terdetik di hati, semurka inikah Allah kepadaku di atas dosa-dosa yang aku lakukan? Namun istighfar adalah sebaik-baiknya ubat untuk jiwa yang bersangka sangka.. 


أَسْتَغْفِرُ اللَّهَ الْعَظِيمَ...


Ujian ini nikmat dan rahmat Allah rupanya. Sepanjang aku menahan segala sakit, aku nampak rupa manusia, aku rasai kasih sayang, aku saksikan pengorbanan. Aku belajar menjadi sesabar-sabar manusia ketika melihat satu persatu rambut yang gugur, remuk hati menyaksikan rupa sendiri yang hampir aku tidak kenali.


Rezeki datang seiring dengan rasa luka dan kecewa, Memberikan berbagai rasa dari jiwa yang ada pasang surutnya.. Takut dengan sakit yang bagaikan tiket untuk aku menuju ke alam abadi . ..


Namun apa pilihan yang aku ada?


Aku hanya ada satu-satunya cara iaitu REDHA

walaupun aku menangis airmata darah, aku perlu REDHA


2025, Semoga kau bawa sinar bahagia dan cinta..

Agar aku lupakan segala luka dan kecewa..

Untuk aku lepaskan segala marah dan airmata..


Tuhan, ujian ini membuat aku semakin dekat denganMU..Seolah aku sudah tidak punya waktu yang banyak lagi untuk memohon belas kasihan dan keampunanmu. Sepertinya tidak ada lagi ruang untuk aku mensia-siakan masa yang tinggal sedikit ini untuk membahagiakan orang-orang yang aku cintai.


الْحَمدُ لله


#cancerfighter

Juwita Maya, Pejuang kanser yang rindukan Ungu 💜

🥰

Alhamdulillah 


" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"