Minggu Penuh Perasaan

Mood : Tulis Puisi . Tulis Puisi . Tulis Puisi




Aku belum rasa mahu tidur. Rasa berat plak after had my sinful dinner iaitu burger oblong kambing yang menjadi pujaan aku masa mengandung dulu membuatkan aku gemuk gedempol dan baby pun gemuk macam mak eh. Tetiba aku craving nak makan tu malam ni. Dah tu makan bersama susu kambing plak tu. Ironiknya he he he. (Aku memang mengamalkan susu kambing setiap malam untuk menambah susu) : Iklan tak berbayar :

oh, tapi kenapa ya tajuk entry aku ni penuh perasaan?

Sekarang ni di Malaysia ada banyak isu. Aku berserabut dengan pelbagai perkara yang aku baca, tengok dan dengar.Ada banyak perkara yang dibualkan dan berbeza pendapat. Aku pernah berkata pada seseorang yang marah sangat bila seorang tokoh agama disekat dari diberi ceramah. Aku kata:

"Rasanya yg disekat itu tajuknya kan? Bukan individu tersebut. I heard dia ada buat ceramah kat tempat lain ok jer"

"Ah. Mereka memang begini. Inikah negara islam. Ini semua salah si polan. Bodohnya si polan dan bangangnya si polan itewww"

Aku memandang dia yang memakai tudung berjenama Sugarscarft sambil terasa aduhai keciknya aku di mata dia yang bijak pandai dan sedang marah itu.Aku cuba nak tanya sejauh mana dia mengenali tokoh tersebut sebelum isu meletop ini. Berapa banyak video ceramah yang sudah dia tonton. Dan dah berapa banyak ceramah agama sekitar perumahan yang sudah dia hadiri sampai dia nak sibuk-sibukkan hal ni? *soalan mencari nahas*. Dan adakah dia marah dan berkata begini sebab dia membacanya di media? Dia nak join the crowd and the more the merrier?. err..

Aku serta merta berasa bosan dan hanya diam. Soala-soalan hanya tersangkut di kerongkongan. Beliau offer aku goreng pisang cheese yang dibeli kat bawah. Aku ambik ah, rezeki jangan ditolak beb, heh!

Semua orang nampak marah. Aku tertanya pada diri sendiri. Jikalau ada sesuatu isu itu, seorang sudah marah, maka yang lain kena ikut marah ke? Seorang tulis Bodoh, maka yang lain perlu menokok tambah bangang, gila dan jahat .Padahal asalnya Bodoh aje. Akhirnya sesuatu itu berakhir dengan Bodoh, bangang, jahat dan gila . Orang akan cepat salah sangka dengan membaca sahaja. Kerana membaca kita tidak dapat mendengar intonasi suara dan melihat bahasa badan seseorang. Seperti aku pernah explain sesuatu kepada seseorang menerusi SMS tetapi entah bagaimana dia membacanya dia salah sangka dengan maksud aku. Aku call dan dia menyambut dengan suara yang keras sedikit. Apabila aku terangkan, barulah dia berlembut dan gelak-gelak di hujung talian. Aku pun gelak. Tapi aku tak ikhlas dan buat-buat gelak dan kalaulah dia boleh nampak aku buat muka paling annoying dalam sejarah perbadaban aku, nescaya dia menyesal berurusan dengan aku he he he...

Itulah yang aku maksudkan. Dah banyak kes-kes yang aku lihat bermula dengan bersangka-sangka dan akhirnya membawa kehancuran.

Tak bolehkah mereka keep calm and eat durian je. Isu hantaran pun nak dibuat joke sudahnya viralkan gambar pengantin perempuan tu. Kesian tau. Malu dia satu Malaysia.Kalau marah, ya ampun berapi-api marah deme macam dah takde ampun. Kalau kesian tu, kesiannn sangat sampai rakus menviralkan sehingga terviral sesuatu yang tidak benar. Kalau nak tudung branded tu, berpanas berhujan berembun pun sanggup.

Sesuatu isu selalu diperbesarkan, diviralkan dan dihentam seolah-olah sesiapa pun makhluk yang dijadikan mangsa itu tidak punya perasaan dan harga diri.

Kenapa kita selalu berlebihan dalam sesuatu? kenapa kita selalunya tak tenang-tenang aje berfikir? Kenapa orang selalu menggelupur bila ada benda yang tak kena?

Aku rasa terlalu banyak perasaan yang aku tengok dan dengar tika ini. Aku mengakui, aku kadangkala tidak arif dalam mengenali sesuatu dan akhirnya aku keliru. Aku keliru siapa yang harus aku percaya. Aku keliru di mana yang benar dan dimana tidak. Especially bab-bab politik. Aku baca, ambil tahu tapi aku tidak akan mengulas, menulis dan lantang berkata-kata perihal yang aku sendiri tidak arif akannya.

Lalu, aku menulis puisi sepanjang minggu ini. Aku memencil diri.Aku sudah penat dengan dunia yang aku hadapi kini (poyo). Di lorong sunyi, di hiruk pikuk manusia, sambil melihat daun kering berguguran, aku tuliskan untuk isi sesuatu di dalam jiwa aku sendiri. Lamanya aku tak tulis puisi. Beratus-ratus puisi yang aku karang hanya mereput sahaja. Sekarang aku tulis untuk mereput lagi. Biarlah kan. Asalkan aku bahagia. Ko sibuk pehal?

Ada

Ada Pertemuan yang tidak perlu pertentangan mata
Ada kisah yang dirungkai ketawanya di kerongkongan sahaja
Ada resah yang tidak mungkin terzahir di alam nyata

Ada sesuatu yang tidak perlu difikirkan sentiasa
Walaupun adanya dalam tiada, tiadanya tidak bermakna langsung hilang dan lengang
Ada tidak bermaksud tegak, berbunyi dan menari-nari
Aku menggenggam setiap duri-duri yang tajam namun aku gagahi mencabutnya tanpa peduli darah yang berjelejeran di jari
Aku mentafsirkan setiap sebaris ayat. Kadangkala pandanganku kosong. Kadangkalanya pandanganku sarat dengan makna.
Namun apa makna jikalau logiknya tidak ada. Tiada apa yang pasti. Tiada.

Walau adanya dalam tiada, aku masih mahu menuliskan ini.

Kerana, sesetengah kisah, sesetengah rasa, sesetengah tawa tanpa suara,

Lebih manis, Lebih indah

Kuabadikan di dalam Sebuah Puisi.

Kedai Kaset Usang

Kedai kaset itu
Usang sekali
Deretan kaset itu
Ada debu berinci-inci
Pemiliknya masih di  situ
Ada riak risau di sebalik kaca matanya
Sesekali digaru kepala nan beruban

Kedai kaset  itu
Pernah menyaksikan gemilangnya irama
Berduyun pencintanya mencari karya asli
Untuk halwa telinga di jiwa muda mudi
Tanda cinta pada muzik dan seni

Namun kini
Kedai kaset itu sepi
Tiada pencinta seni yang asli
Berganti dengan lanun seni palsu yang silih ganti
Mencuri keringat dan cinta sang seniman sejati.

Aduhlah kini,
Kedai kaset itu semakin terus sepi

Dan mungkin kasetnya terus berhabuk berinci-inci lagi.

* Diinspirasikan dari sebuah kedai yang hanya menjual kaset berdekatan tempat tinggal aku. Aku kagum. Aku curious bagaimana dia boleh masih menjual kaset sedangkan dunia sudah canggih. Bagaimana dia survive. Aku masih belum ketemu jawapan kerana belum berani bertanya. :-P


Kau mahu jadi macam-macam

Aku dengar kelmarin, kau mahu hati jadi kuat macam besi.
Semalam  kau menangis pula hati macam tisu

Esok-esok, aku lihat kau gelak besar macam hantu.
Eh, bukankah kau kata kau mahu benci-benci?
Kau nak diam-diam dekati Tuhan? Tak nak lagi gelak besar macam pontianak?

Baru minggu lepas aku nampak kau di Mall.
Kau di bawah kain yang sedikit.
Sebulan lepas, kau di bawah kain yang banyak berlapis-lapis.
Sebenarnya, kau siapa?
Seminit lalu kau beritahu aku kau menyesal tapi sering di depan aku kau tak ubah macam yang dulu-dulu.

Sebenarnya, kau manusia atau hantu?

 Malas

Hari ini aku malas.
Kalau boleh, aku malas bangun dari katil beradu
Aku malas nak tinggalkan tilam empuk dan bantal busuk berbunga biru.
Aku malas makan
Aku malas minum
Aku malas mandi
Aku malas gosok gigi
Hurm..aku malas mau fikir lagi
Kenapa aku malas hari ini?
Ah! Aku pun malas mau cerita!




Puisi Celaru

Matamu

Redup namun berkaca curiga

Mencari erti setiap kenangan yang beku

Berharap yang hitam terbang melaju



Apakah engkau tidak bisa

Merasa sesak dengan impian palsu

Anganan tinggi bagi melupakan parahmu



Aduhai hati yang terpilu

Jejakkan fikirmu menyentuh realiti

Jangan dikenang pada luputnya budi insani




Lelucon Jijik

Mata masih berteleku di situ
Menyaksikan watak-watak busuk yang menyeringai  untuk berlucu-lucu
Melakonkan semula luka-luka insan istimewa
Melompat,mengilai,terkinja-kinja hanya  untuk meraih tawa
Mengekek-ngekek dan berajuk-ajuk pada kekurangan manusia.

Mata masih di situ
Namun  masam mukaku
Jasad dan hati jadi kaku
Mana pergi naluri lucuku?
Isyaratnya tidak sampai ke fikirku
Sakitkah aku?

Lalu aku sedari sesuatu
Kenapa perlu ketawa pada lelucon jijik meloyakan
Seolah tawa pada hati luka yang dibogelkan batinnya
 Tawa pada jiwa sengsara yang merintih kecewa

Tidak! Aku tidak mahu khianati empatiku
Lantas aku menutup kotak bersegi
Tapi masih duduk kaku
Dan masih masam juga mukaku




Tanah Abah

Serelung Tanah Abah

Buat kenangan bersama kami

Bagai ada bayang Abah

Dengan luasnya cinta pada kami



Serelung Tanah Abah

Kesinambungan kasih sayang kami

Itu sahaja harta Abah

Agar kami tidak mengemis di atas bumi



Namun kini, serelung tanah Abah

Hampir luput dari pandangan kami

Mendesah setiap rindu kami



Aduhai Abah,

Tanah itu tanda cinta mu pada kami

Kini akan dibawa pergi

Namun bukan perginya cinta kami

Padamu Abah yang tenang di sisi Illahi


Al-Fatihah Abah~~ #nangesss



Teman Tapi Racun

Aku melancarkan perang
Perangku tidak ada senjata
Apatah lagi bala tentera
Namun musuhku jerih sekali untuk ku jauhi

Aku bertekad pagi
Namun petang tekadku mati
Lalu sesal melata kembali

Racun apakah yang tidak bisa hilang dari dalam darahku?
Hai musuhku! Yang pernah menjadi teman baikku
Nyah kau dari hidupku!

Tiada ku mahu lagi menyedut sarimu
Apatah lagi menghidu baumu
Sekonyong pula aku menggelupur mencari
Teman sejati yang ku benci-benci
Selepas ini aku tidak mahu lagi
Mendekatimu perosak tenangku
Biarlah yang ini terakhirku berbaik-baik denganmu
Moga esok aku akan kembali membencimu

*Puisi buat perokok tegar yang susah nau mau berhenti *Aku tulis sambil melihat seseorang yang sedang merokok dengan begitu asyik sekali...alahai~~*



Raikan Kecewa

Mari raikan kecewa

Dengan tarian duka lara

Seluruh cakerawala meraikannya

Sedang di seberang sana merayakan sengsara


Mari raikan kecewa

Tatkala kantung airmata terkoyak

Dengan bisunya pejuang ketenangan

Lalu rentak luka meninggi iramanya

Menghancurkan gegendang yang semakin memekak

Dengan bingitnya muzik tarian raja durjana


Mari raikan kecewa

Raikan ia dengan irama kita

Beralun syahdu menitiskan airmata

Kalimah saktinya menenangkan kalbu

Itulah surat cinta dari tuhan kita


Yang tidak pernah mengajar kita untuk terus kecewa

Tapi bangun dan menepis erti putus asa

Menadah tangan bermunajat kepadaNYA

Kerna itulah senjata kita



*Pray for Gaza*Pray For Syria* Pray for our Brothers and Sisters*




Sijjin Dan Illiyin

Aku bimbang
Kamu juga patut bimbang
Semua hati yang hidup seharusnya bimbang

Entah apa nasib kita
Bila bibir tidak bisa bicara lagi
Yang berbicara hanya anggotamu
Menjawab setiap amal perbuatanmu
Tangan mu tidak betah menipu
Jika kau gunakan untuk mencalit noda di tubuhmu.
Kaki mu tidak akan terusan membelamu
Kiranya kau jejaki tempat yang buruk  menjadi nadi penghibur
memenuhi hati kotormu

Semuanya dipertangungjawabkan, tiada yang terlepas dari pandangan Tuhan
Saat itu ratapanmu tidak berguna lagi
Cemas amat menggempar dadamu

Apakah molek catatan di sijjin dan illiyinmu?
Adakah diserahkan pada kanan atau belakangmu?



Insan Itu

Insan itu,

Tulisanmu mengusik fikirku

Pemikiranmu menggamit hatiku

Di laman hujahmu itu aku menyimpan

Cebis-cebis rindu yang bertamu tidak keruan



Insan itu,

Aku keliru dengan penasaran ini

Lalu ku tulis huruf-huruf luka

Kerna kesal dengan emosi celaruku



Insan itu,

Kita tidak pernah dan tidak mungkin bersua

Temunya kita hanya di alam maya

Di mana cuma hati dapat berbicara



Maafkan aku insan,

Aku hanya mengagumimu

Kerana aku telah kehabisan warna cinta

Untuk ku warnakan di ruang perasaanku

 22 January 2013


Penukil Sketsa Dunia

Dia dikenal pencinta gurindam
Kerana setiap sketsa dunia,
Menjadi huruf dan noktahnya
Sedetik tak betah dia terleka
Menjadikan ragam dunia sejarah karya di penanya

Jauh di lubuk hatinya, sebalik tarian lembut penanya,
Dia terlupa
Lupa untuk titipkan getaran di jiwanya
Kosong,kontang, sedihnya melata
Kecewa dia dengan dunia
Namun tidak pernah dipamer rasanya
Di dalam gurindam-gurindam nukilannya

Dikatup rapat segala duka
Dari dilihat di pentas dunia
Kerana sketsa di relung jiwanya
Tiada dapat dinukil dengan penanya.



Rasanya cukuplah sudah puisi untuk kali ini. Kalau ada mood aku akan menulis lagi kerana mood aku tidak datang selalu. Aku harap burger tadi sudah hadam sepanjang aku menulis tadi. Best tak puisi aku? Kalau tak best pun buat-buat la best untuk menjaga hati aku. Aku sensitif tahuuuuu....

Selamat Malam Dunia...... 

















Juwita Maya yang menulis..



bukan Maya Karin :-P

" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"