Aku mahu tulis merepek aje. Penat sudah jadi serius. ( Kisah berpeluh sepanjang minggu - Musim Panas)

Amboi ko Joyah..tajuk dah macam komik Shin Chan je.

Minggu ini minggu yang kelam kabut dan agak panas juga. Sekarang ni musim panas, aku banyak bergerak dan berpeluh. Makan pun tak tentu. Berat aku turun secara semulajadi. Aku sedar bila seluar aku longgar skit. He he (suke la ko joyah). Tak yah nak suke sangat.  Esok-esok ko gemuk balik.

Air-cond di rumah tiba-tiba rosak. Nampaknya air cond pun sudah memusuhi aku sekarang ni. (Ah, paranoidnya engkau..). Kenapa kau nak rosak musim panas? Rosak la musim menuai ke, musim luruh ke. Semalam Baby Adra menangis malam. Berpeluh-peluh. Aku tak tahu nak buat apa. Aku hanya mampu tidurkan dia di dalam kereta. Panasnya lah hai... hurm..manusia ni. Panas mengeluh. Hujan pun mengeluh. Apa lagi yang kau mahu? Dah dapat sedut oksigen pun dah kira bersyukur tahu? (Lalu aku tersentap sendirian..lalalala...)


Housewives Vs Carrier Women.





Hari tu aku balik dari kerja awal daripada biasa. Keadaan masih siang dan terang, jadi aku nampak beberapa jiran bergossip di tepi pagar rumah. Lama juga aku tidak berbual dengan mereka kerana sering pulang hari sudah malam. Diorang melambai tangan pada aku dan nak tak nak aku pun join the club. Kang kata aku sombong plak kan... aku tak sukakan gossip murahan tentang aku... (baca macam lagu Selimut Tetangga). Selalunya aku kurang bergaul dengan mereka sebab aku kadangkala tak boleh masuk dengan conversation mereka. Selalunya agak berat dan aku perlu mengerut-ngerutkan muka aku. Kadangkala mereka bercerita tentang individu yg aku tak kenali.Aku penat terangguk-angguk, berpura-pura faham dan gelak yang dibuat-buat. Jadi, daripada aku berlakon baik lah aku buat biasa aje kan?. Maksudnya aku bukan nak menyombong tapi cuma buat biasa sahaja sebagai jiran. Bukan sampai nak melepak sambil main chess dan minum teh tarik.

Tapi kali ini perbincangan mereka juga agak berat. Mereka membincangkan tentang surirumah dan wanita bekerja. Di kalangan kami ada yang berkerja dan ada juga suri rumahtangga. wah...macam-macam pendapat berbeza. Aku cuma diam dan dengar sambil melihat Pak Aji depan rumah aku siram pokok bunga. Bukan nak sekodeng Pak Aji tu, cuma aku tertarik pada getah paipnya yang berwarna hijau berbelang kuning. Dari jauh aku ingatkan Pak Aji pegang ular buat main-main. Pelik gak sebab Pak Aji nampak tenang memegang ular. Ular peliharaan kah? Getah paip rupanya. Pak Aji ni bikin seram la...

Sebenarnya,aku tidak pernah mahu menulis atau memperkatakan tentang sesuatu seperti ini kerana  ianya terlalu subjektif, banyak situasi yang tidak sama dan manusia yang mengalami dan memandang situasi itu juga berbeza. 

Tapi aku bagai terpanggil pula untuk menuliskan ini. Walau berat hati.  Aku naik jelak dengan perbalahan di laman sesawang, media sosial tentang kerja seorang Surirumah dan seorang wanita yang keluar bekerja. Pung pang pung pang sana sini mengatakan merekalah yang lebih banyak bekerja, mereka yang banyak bantu ekonomi rumahtangga, bla…bla..bla… dan aku hanya membaca dengan senyap. Cuba fahami. Aku rasa mereka yang sekaum dengan aku ketika menaip semua kata-kata itu hanya ada satu persamaan yang ketara iaitu mereka PENAT. Hahahah betul kan. 

Baiklah, biar aku ceritakan sedikit tentang apa pandangan aku tentang situasi ini. Sebenarnya tahap kepenatan, peranan dan susana yang dialami kedua2 watak ini sama sahaja, Ada pro dan kons. Kurang sana lebih sini, Lebih sini kurang sana. 

Sebelum itu, ingin aku zahirkan rasa kagum aku pada surirumah-surirumah di luar sana yang sukses dan Berjaya mengurus rumahtangga dan menjadi kesayangan suami tercinta. Tetap cantik dan bijaksana. Wow! Perfect! Inilah surirumah yang menjadi idaman sang jejaka yang masih bujang. (pehal tetiba ayat ko dah jadi gini). Tetapi jikalau dia seorang lelaki yang matang dan beriman, dia perlu menerima isteri itu seadanya. Jangan harap isteri yang sempurna seperti dalam drama televisyen kerana dalam kotak kaca itu semuanya lakonan semata. Anak tiga pun masih cun. Memanglah cun, sebab dia bukan beranak betul-betul pun dalam tu he he he...

Baiklah, bagi surirumah mungkin mereka tidak terikat dengan MASA. Mereka bebas melakukan pekerjaan di rumah dengan tenang. Sambil gosok baju boleh tengok cerita telenovela. Sesambil jemur kain boleh main pesbuk. Maksud aku mereka boleh merancang kerja dalam masa yang mereka sendiri aturkan.

Tapi bagi seseorang seperti aku, aku perlu menjadi keduanya dalam masa yang terhad. Setiap hujung minggu, aku adalah surirumah sepenuh masa. Aku rancang apa yang aku perlu lakukan sebelum Isnin menjelma. Aku kena cepat. Kalau tidak semua benda tak settle.

Dahulu, aku sangat tidak teratur. Aku memang buat semua benda mengikut priority tapi masa. Aku selalu tak cukup masa. Lama-kelamaan aku cuba mencari penyelesaian iaitu, Aku merancang apa yang ingin aku lakukan selama seminggu. Hari sebelumnya segala bahan untuk masak aku akan sediakan dan esok petang aku hanya masak. Sekurang-kurangnya walaupun simple tapi anak-anak akan makan air tangan aku bukan dibeli dari luar yang diragui kebersihannya. Jadi, aku tidak terlalu tergesa untuk solat, mandi dan budak-budak pun tak makan lambat sebelum pergi mengaji. Mengenai kain baju yang tidak berlipat, aku lakukan begini, Sediakan satu meja dan letakkan bakul kain di tepi. Setiap kali aku menyapu, tunggu ikan yang digoreng, atau lalu lalang di situ, aku akan lipat sikit-sikit. Jadinya, lama kelamaan, baju tu akan susut. Daripada aku duduk saja melipat kain, kerja lain akan terbengkalai sebab baju adalah never ending story. Rutin yang selebihnya, memang perlu dibuat setiap hari iaitu mengemas dan mengurus keperluan untuk hari berikut sebelum aku dapat tidur..eh eh kau tulis semua ni ingat orang nak ikut ke? hehehe

Alhamdulillah, Aku panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga pada Allah SWT di atas kesihatan yang diberikannNYA untuk aku menjalankan semua tanggungjawab di atas. Tak terhingga dan terkira nikmat yang Allah berikan.

Baiklah, aku hanya cuba merungkai peranan, kerja, dan tanggungjawab dipikul seorang yang bergelar surirumah ataupun mereka yang sentiasa berada di dalam rumah. Ianya dari kaca mata bergelar aku. Maaf kalau tulisan ini mengguris hati, menimbulkan rasa kurang setuju atau apa saja. Sudah aku beritahukan, surirumah Vs wanita bekerja ini sangat sangat sangat meluas kerana situasi tidak sama, ekonomi tidak sama, peel suami tidak sama dan bilangan anak juga tidaklah sama.

Apa yang aku Nampak, jikalau anda seorang surirumah yang cantik, cukup segalanya, suami yang baik,beriman dan penyayang, anak-anak yang cerdik, cantik, terurus makan minum, ekonomi yang kukuh, setelah seminggu berasa lelah dengan rumahtangga, masa hujung minggu anda terisi dengan percutian yang hebat, anda punya hobi yang membahagiakan, subhanallah..sujud syukurlah kamu pada Allah SWT yang memberikan nikmat hidup yang tidak terperi ini. Peranan kamu cuma menjaga rumahtangga, menjaga maruah kamu dan taatlah pada Allah SWT. Setakat stress sikit-sikit dengan suami tu buat derk ajelah...Insyaallah dengan izinnya dan redha suami kamu, kamu akan ke syurga. Masyaallah…di dunia syurga akhirat pun syurga. Nikmatnya… sempurna segalanya.

Tetapi, ada juga sesetengah surirumah yang mengalami perasaan dahsyat di dalam hati. Makan hati dengan peel suami.Hendak dibertahukan pada keluarga, rasa malu. Kawan-kawan tidak ada. Dia berbisik alangkah baik dia berkerjaya, sekurangnya ada kawan melepas rasa, wang sendiri tanpa meminta suami. Akhirnya dia simpan sendiri dan ‘mati’ sendirian.

Ada wanita yang berkerja pula berkata, alangkah bagusnya aku duduk di rumah saja mengurus rumahtangga. Tak perlu tertekan dengan kehendak majikan dan rakan sekerja yang kadang-kadang entah bawak perangai dari planet mana ntah. Perangai yang aneh-aneh.

Lihatlah...inilah yang dikatakan kita tidak memakai kasut mereka. Kita tidak tahu setiap situasi surirumah dan setiap situasi wanita yang terpaksa keluar bekerja.

Aku berdoa. Sesiapapun kita sebagai seorang perempuan. Samada seorang surirumah atau yang perlu keluar bekerja, di harapkan semoga kita tidak mengeluh, dan ikhlas melakukannya, kerana Allah Taala. Semoga Allah redha. Dan suami juga redha atas kita. Amin..... kite kuat yeay!



Rindu Mak.

Mak dah lama tak datang kerumah aku. Aku rinduuuu sangat kat Mak. Walaupun kalau mak ada di sini mak bukannya layan aku sangat sebab mak suka tengok telenovela tapi aku rasa comfort. Mak ada disisi. Aku suka berbual dengan mak. Mak akan cerita macam-macam.

Malam semalam aku call mak.

" Assalammualaikum Mak..."

Aku sengaja buat suara mengada sebab aku memang mengada. So what? haha

"Waalaikummussalam.." Suara mak serak.

"Eh  mak ni, seksinya suara. Mak gi karok eh semalam?"

"Banyak la kau punya karok. Mak batuk la. Ni suka-suka sangat ni dah sembahyang isyak ke belum?"

"Dah mak. sembahyang tahajud sekali. Mana la tahu mak tension mak gi karok ngan Mak Cik Pauziah"  (Mak Cik Pauziah adalah Bff mak aku ok. Selalu sms mak kalau mak ada kat sini)

"Sukahati kau je nak tahajud tengah-tengah gini. Ni sihat ke ko? Anak sihat?"

"Sihat. Bila mak nak datang sini? Sombong ah mak ni"

"Mak bizi la. Ada banyak kenduri cuti sekolah ni."

Amboiii bunyi bizi bebenor mak ni tau.Orang rindu mak la!

Aku tak dapat bayangkan bagaimana aku mahu meneruskan kehidupan ini jikalau mak ditakdirkan pergi. Siapa yang akan sayang kan aku? Begitu juga suami aku. Bagaimana kalau mereka pergi dari sisi aku? Siapa nak sabar dengan kerenah aku yg serba kekurangan ini? Kurang ajar, kurang asam, kurang waras, kurang kesedaran sivik, kurang popular (tetiba...)

Ya Allah, kau panjangkan usia mereka dan lindungilah mereka Ya Allah... ishh woi!...sape yg potong bawang tengah-tengah malam ni? Nak buat kenduri ke hape esok ni?.





Oklah...Adra pun dah terjaga mencari aku. Aku akhiri penulisan kali ini dengan salam mesra kasih dan sayang ...  Penuhi hati dengan cinta, sayang, prasangka baik, positif dan senyuman. Ianya akan terpancar di wajahmu....




Selamat Malam Dunia..

Juwita Maya




Gudnite Batman :)

No comments:

Post a Comment

so, nak komen tak??

" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"