Sejuta Penipuan





Ini adalah hanya satu tulisan umum. Yang ada di mana-mana sahaja. Kisah yang sering ada di depan mata, dilakonkan kita mahupun dibenci kita.
Ku kira kadang2 kita tidak pernah jujur dengan diri. Kita lakonkan sesuatu yang kita ingin sedangkan  hidup kita bukan begitu. Hidup kita punah dan musnah dengan rasa kecewa yang memakan diri. Nampak gemilang dengan rasa cinta yang banyak, mewah dengan gelora rasa girang namun disebalik itu ada berjuta rasa kecewa dan sunyi nan sendirian. Termenung dan asyik termenung kerana hampir-hampir kita tidak kenali siapa diri kita yang sebenar. Keliru dengan keinginan dan watak-watak yang dilakonkan sendiri.
Kadangkalanya kita tidak mahu jadi diri. Kita mahu jadi satu watak yang kita cipta dengan rapi. Tapi di dalam hati kita asyik sekali menangis. Menangis itu sangat penuh emosi. Mujurlah kita adalah pelakon hebat yang tidak pernah menang anugerah apapun.
Di setiap malam nan sunyi, roh sebenar sudah masuk kembali ke dalam diri. Tika itu memang sunyi amat. Kita menangis. Kita sesal kerana sepanjang hari ini kita asyik berlakon dan terus berlakon untuk mengaburi. Ketika inilah sesal mengetuk pintu rasa. Apakan daya, sutradara sudah terlayar di skrin kehidupan. Segala coretan sudah terlajak jauh diperhatikan. Segala senyuman palsu dan anganan gila sudah lama dihadam jauh ke lubuk hati mereka yang melihatnya tadi.
Pada waktu sesal itu, seakan ditarik jiwa untuk berhenti menjadi pelakon dan baliklah berdepan realiti yang kabut dan suram. Sesetengah manusia memang tidak pernah puas dan syukur dengan apa yang ada.
Topeng indah telah ditanggal. Dan kini lihatlah manusia di sekelilingku. lihatlah wajah hodoh ini. Reality yang perit ada berlegar di wajah itu. aku pelakon!. Aku pelakon wahai semua. Pelakon di pentas dunia yang fana. Aku gembira menjadi watak yang aku mahukan. Tetapi setelah babak selesai, aku menung melihat kembali diri aku sebenarnya. 
Ku sentuh wajah hodoh yang bercalar-balar. Inilah dirimu, sayang. Dirimu yang sebenarnya. Jangan jadi manusia lain kerana kau adalah manusia yang berdiri tegak ini. Engkau perlu jadi diri sendiri. Jangan berlakon lagi. Jangan undang murka tuhanmu.
Tuhan, ku kira hanya Engkau yang mengetahui. Fikirku dan suaraku sering tersekat tidak pernah keluar. Jemariku laju jika rasa sakitku semakin pilu. Aku lemah.
Aku tidak sekuat watak itu. Itu bukan aku
Juwita Maya
17.06.2014
12.05 pm

No comments:

Post a Comment

so, nak komen tak??

" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"