Kun Fayakun







Segala puji-pujian hanya bagi Allah dan aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. 

Apa yang ingin aku tuliskan di sini sangat menakutkan diri aku sendiri. Kerana aku tidaklah seberani mana untuk mengalami keadaan ini. Cerita bagaimana aku mengalami gangguan dari makhlus halus yakni syaitan yang direjam. Aku redha. Kerana ini semua ujian Allah untuk aku. Semuanya terjadi dengan izin Allah SWT.  Untuk aku lebih dekat dengan Dia. Aku terlalu lalai. Sehingga Allah timpakan ujian ini. pada aku. Maha Suci Allah.

Cerita bermula ketika aku demam. Demam itu sangat pelik. Aku sangat kesejukan dan menggigil.  Di tangan dan kaki aku gatal-gatal. Gatal bukan di bahagian luar tapi di bahagian dalam. Aku sangkakan mungkin demam biasa sehingga aku lemah. Nak angkat tangan sendiri pun aku seolah tidak berdaya.

Sepanjang seminggu aku demam aku bermimpi pelik. Hampir setiap malam. Aku bermimpi masuk ke dalam kubur membongkar mayat. Mimpikan orang yang sudah lama meninggal dunia. Bermimpi ular tedung berwarna merah menyala. 

Aku tak memperdulikan semua itu sebab aku rasa mimpi itu semuanya mainan tidur. Namun, selepas demam dah kebah tapi badan aku terasa semakin lemah. Selera makan langsung tiada. Aku sering mengantuk dan sakit kepala terutama selepas asar. Aku susah hati. Aku tidak berminat langsung dengan kehidupan ini. Semuanya aku buat kerana aku paksa diri aku melakukannya. Aku menangis tiba-tiba tanpa sebab yang jelas. Aku bencikan orang di sekeliling aku. Aku tidak suka bercakap tapi lebih suka termenung. Namun aku masih juga melawannya dengan berlagak seperti biasa. Sepertinya tiada apa-apa yang berlaku pada aku. Masa aku rasakan seperti terlalu lambat berjalan. Aku tidak suka balik ke rumah. Aku menjadi malas. Rumahtangga aku tidak hiraukan kerana aku lebih suka menyendiri. Aku berasakan yang aku tidak pernah bahagia. Aku tidak suka mendengar suara suami aku sendiri. Aku benci dengan kehidupan. Anak-anak aku abaikan kerana balik sahaja kerja aku hanya akan tertidur. Di masa cuti pun aku hanya mahu tidur tidur tidur!. Mujurlah suami aku tak merungut apa2 kerana dia beranggapan aku masih lagi kurang sihat.

Aku mula merasakan sesuatu tidak kena pada aku. Aku lemah lesu dan tidak bermaya. aku menangis dan asyik menangis. Akhirnya aku pun google. Bimbang kalau2 aku ada penyakit kronik.
Kemudian aku menangis lagi.

 Aku tidak mahu tidur kerana aku tak nak mimpi dan aku takut mati. Pada seorang kawan aku ceritakan apa yang aku rasa. Dia mencadangkan aku berubat secara rawatan islam. Aku terdiam. Aku bukan tidak percaya tapi aku kurang percaya. Aku hanya beranggapan aku ada penyakit. Aku memberitahu suami dan dia pun kurang percaya. 

Malam itu, aku bermimpi dan aku terjaga. Mimpi itu sangat menakutkan seperti biasa. Aku bangun dan duduk termenung di katil. Aku bingung. Tapi malam itu aku seolah-olah berhalusinasi kerana seolahnya aku bangun dan mandi lalu ke ruang tamu sedangkan aku masih di atas katil. Sekali lagi aku terjaga. Ketika mahu tidur semula aku dihimpit oleh sesuatu dan aku meronta dan menjerit untuk melepaskan diri.

 Di waktu pagi aku sangat malas untuk bangun. Seperti ada batu besar yang menghimpit di dada. Aku terasa malas dan berat hati untuk solat mahupun mengaji lalu aku menangis kerana aku sudah mulai bimbang dengan keadaan ini. Menjelang tengahari aku mulai menggigil. Apabila berbual dengan sesiapa aku terdengar seperti mereka bercakap di dalam tong kosong. Bergema. Pandangan aku jadi kabur. Selepas asar, leher aku terasa panas dan kepala aku sakit. Hinggakan aku termuntah di atas sejadah. Pabila malam pula aku hanya termenung dan diam. Lalu terasa mengantuk yang teramat-amatnya. tetapi, tengah2 malam aku mesti akan terjaga. waktunya sama saja iaitu pukul 5 pagi. Entahlah, aku tak tahu bagaimana nak gambarkan bagaimana aku rasakan. Hanya mereka yang pernah alami akan tahu apa yang aku rasai.

Pada Allah aku panjatkan doa. Minta petunjuk apakah yang aku alami. Takkanlah demam boleh sebegini effectnya?

Aku menjadi bingung.Lebih dua minggu keadaan aku begini. Aku diganggu sesuatu yang tak pasti. Aku tiada berkeinginan untuk apapun. Di satu petang, aku rasakan ianya sudah semakin menghimpit dan menyesakkan. Badan aku sangat lemah. Aku marah dengan orang sekeliling aku biarpun mereka hanya lalu di tepi aku. Aku benci melihat kebahagiaan orang lain. Aku cemburu kerana orang lain gembira dan sihat sedangkan aku sebaliknya. Aku tak sanggup hadapi. Seolahnya aku terdorong sahaja untuk menamatkan riwayat aku sendiri. Aku tak sanggup. Petang itu jugalah aku terus ke rumah kak ngah dan menceritakan segalanya...

Keesokan malamnya aku dibawa berjumpa Ustaz. Sementara menunggu, aku masih ada rasa antara percaya dan tidak percaya. Susah aku nak percaya pada benda2 begini di zaman moden ini.

Ketika aku berdepan dengan ustaz itu, aku terasa seram sejuk. Entahlah. Ketika dia membacakan ayat-ayat ruqyah, aku terasa sangat sejuk. Dia menekan di belakang, kepala dan perut aku dengan kuat sekali sehingga aku megaduh sakit. Sambil menekan dia menyebut 'keluar' . Aku menangis kerana sakit. Dia menekan dengan kuat. seperti sekuat-kuat hatinya. Aku jadi marah. 
Kemudian belakang aku ditepuk kuat. Aku perempuan dia lelaki. Sudah semestinya kudrat kami berbeza. Aku dah tak tahan lagi menahan kesakitan dipukul sebegitu lalu menepis. Akhirnya, oleh kerana aku sudah penat aku hanya berdiam sahaja diperlakukan macam tu sambil ustaz tersebut masih menyebut "keluar! jangan kau duduk di dalam badan manusia" Aku terdiam sendiri. Aku hanya pernah menonton drama sahaja benda-benda semacam ni. Tak sangka aku akan alaminya sendiri...maha suci Allah... Allah juga yg bisa menyembuhkan. 

Selepas itu aku diberi air untuk minum dan mandi. Sebelum balik Ustaz itu berpesan supaya sentiasa berzikir dan membaca 3 Qul setiap kali selepas solat. Dia juga berpesan supaya aku tidak terlalu memikirkan dari mana gangguan itu datang dan siapa yang menghantarnya. Yang penting aku perlu sembuh dengan izin Allah swt.  Aku kepenatan dan badanku sakit.
 
Alhamdulillah...dengan izin Allah, segala perasaan bingung itu hilang keesokan harinya. Aku memanjatkan kesyukuran pada Allah yang maha esa kerana aku sudah kembali sihat seperti biasa.

Tiada lagi mimpi, kelibat orang di dalam rumah, dan suara yang seakan memanggil aku.
Aku perlu kuat melawannya. Aku tak perlu takut pada makhluk itu. Aku hanya takut pada Allah!

tetapi, terkadang bila diingat balik, meremang juga lah aku ..





                               

وَ اتَّبَعُوْا مَا تَتْلُوا الشَّيَاطِيْنُ عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ وَ مَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَ لَكِنَّ الشَّيْاطِيْنَ كَفَرُوْا يُعَلِّمُوْنَ النَّاسَ السِّحْرَ وَ مَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوْتَ وَمَارُوْتَ وَ مَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُوْلاَ إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلاَ تَكْفُرْ فَيَتَعَلَّمُوْنَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُوْنَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَ زَوْجِهِ وَ مَا هُم بِضَآرِّيْنَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلاَّ بِإِذْنِ اللهِ وَ يَتَعَلَّمُوْنَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلاَ يَنْفَعُهُمْ وَ لَقَدْ عَلِمُوْا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلاَقٍ وَ لَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ لَوْ كَانُوْا يَعْلَمُوْن
(102) Dan mereka ikut apa yang diceritakan oleh syaitan-syaita tentang Kerajaan. Sulaiman , padahal tidaklah kafir Sulaiman,akan tetapi syaitan-syaitan itu­lah yang kafir. Mereka ajarkan kepada manusia sihir, dan apa yang diturunkan kepada kedua Malak di Babil , Harut dan Marut. Padahal mereka berdua tidak engajarkan seseorang melainkan sesudah keduanya berkata: Kami tidak lain hanyalah suatu percobaan , maka janganlah kamu kafir ! .Tetapi mereka pelajari dari keduanya apa yang men­ceraikan di antara seseorang dengan isterinya. Dan tidaklah mereka dapat membahayakan seseorang dengan dia , melainkan dengan izin Allah. Dan mereka pelajari apa yang memberi mudharat kepada mereka dan tidak mernberi manfaat kepada mereka. Dan sesungguhnya merekapun telah tahu bahwa orang yang membelinya tidaklah ada untuk mereka bagian di akhirat.Dan amatlah buruknya suatu harga yang dengan itu mereka menjual diri mereka, jikalau mereka tahu.



 "Ertinya : Katakanlah, Aku berlindung kepada Rabb Yang menguasai Subuh, dari kejahatan mahluk-Nya, dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gulita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus buhul-buhul dan dari kejahatan orang-orang yang dengki apabila ia dengki". [Al-Falaq: 1-5]


No comments:

Post a Comment

so, nak komen tak??

" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"