Aku rindukanmu, Abah



Bismillahhirrahmannirrohim..

Segala puji-pujian hanyalah bagi Allah. Dengan rahmatNYA kita semua masih terus menikmati kehidupan yang berwarna warni seiring dengan rezeki yang Allah turunkan. Allah itu sangat dekat. Lebih dekat dari urat leher kita sendiri. Sebenarnya sudah lama aku ingin menuliskan sesuatu tentang Abah namun, aku tidak pernah ada kekuatan. Di hari jumaat yang penuh berkat ini, aku cekalkan hati. Semuanya kerana mimpi malam tadi.

Dahulu, aku selalu berdoa, mengharapkan supaya satu hari nanti aku dapat melihat arwah Abah. Walaupun di dalam mimpiku. Bertahun-tahun aku mengharap. Dapat melihat wajah abah walaupun hanya sekilas aku dapat memandangnya.

Abah pergi meninggalkan dunia ini sewaktu aku masih berusia 4 tahun. Aku tidak kenal siapa itu abah. Kata mak, apabila lahirnya aku, aku adalah anak yang sangat disayangi abah walaupun hanya sempat mengecapinya selama 4 tahun. Aku sering dimanjakan oleh abah. Aku rasa bahagia, walaupun aku kurang sekali mengingatinya…..

Semasa abah sakit di hospital, kata mak dan adik beradik lain, aku diseludup masuk ke icu sedangkan kanak-kanak dilarang masuk ke sana. Kerana, Abah nak sangat2 jumpa aku buat kali terakhir. Selepas berjumpa aku, Abah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir…

Kerana Allah kita disini, Kepada Allah lah kita kan kembali

Tapi, ada sesuatu yg aku ingat. Dan aku tidak tahu kenapa aku masih ingat sedangkan usia aku ketika itu hanyalah 4 tahun?. Aku ingat di satu subuh, kakak kejutkan aku. Aku duduk di satu sudut memerhatikan sekujur tubuh yang kaku. Aku tak faham. Tapi aku tahu itu Abah. Kenapa dan bagaimana abah boleh jadi begitu aku memang tidak langsung dapat memahami sedikit pun. Salah seorang kakak aku pimpin aku dan aku mencium pipi abah yang sejuk. Ya Allah, sejuknya memang aku ingat sampai ke hari ini. Hanya itu. Semasa hari kematian abah, hanya peristiwa ini yang aku ingat. Selebihnya aku tak ingat langsung.

Masa tu hanyalah 2 minggu sebelum raya. Mak dan adik beradik bercerita, hanya aku seorang sahaja yang gembira berhari raya. Aku kutip duit raya dengan banyak sekali dan berkata pada mereka di rumah yang sedang bersedih : 
“seronoknya dapat banyak duit raya. Semua orang kata Ita anak yatim”

Ya Allah … itu sangat menyedihkan …

Akhirnya sehingga ke hari ini, aku lalui tanpa adanya Abah di sisi. Hanya kenangan, cerita-cerita dari kakak2 dan abang2,  yang mewarnai ingatan aku terhadap Abah. Aku terasa rindu sangat2 pada abah…namun aku pendamkan…

Malam tadi, aku bermimpi abah. Dia senyum. Tidak bercakap apa2. Abah sangat tenang. Memakai kemeja dan memakai lebai. Dia memeluk dan mencium aku. Aku sedang mendukung anak tapi aku tak pasti siapa yang aku dukung. Lokasinya pun kurang jelas. Semacam di tepi sungai. Wajah abah tidak lah berapa jelas namun aku tahu itu adalah Abah. Mimpi itu bagaikan bercampur2. Namun di akhir mimpi, seolah abah naikkan aku bas. Tapi Abah tak naik bas tersebut.

Ya Allah, sebaknya aku. Apakah itu Abah?

Abah, I miss you so much.

Ya Allah, jikalau mimpi itu adalah kurniaan dariMU, aku bersyukur ke hadratMu Ya Allah, kerana aku rasa bahagia sangat Abah memeluk dan menciumku walaupun di dalam mimpiku
Dan jikalau mimpi itu hanyalah mainan tidurku, ianya tetap berharga dan terkesan di hati ini…




Al-Fatihah Abah .. 

Aku merindukanmu…semoga engkau tenang di sana.. 

Ya Allah, ampunkanlah segala dosanya, cucurilah rahmat ke atas rohnya, lapangkanlah kuburnya dan tempatkanlah dia bersama-sama orang-orang yang beriman.

Abah, moga kita berjumpa di akhirat sana…terima kasih kerana menjadi bapa yang sangat penyayang..

Alhamdulillah....Alhamdulillah...



No comments:

Post a Comment

so, nak komen tak??

" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"