Wanita Sakti Bernama Ibu






Di satu petang yang mendamaikan, aku berbual-bual bersama ibu. Tamparan angin lembut menenangkan suasana. Tiba-tiba sahaja, aku berasa ingin bertanyakan sesuatu pada ibu. Soalan yang sebenarnya sungguh subjektif dan jawapannya ada pelbagai. Dari dahulu aku ingin bertanya namun keberanian seringkali tiada. Dalam keresahan aku membuka bicara.

"Ibu, bagaimana orang dahulu sangat bahagia dalam perkahwinan mereka? Ada yang sehidup dan mati bersama. Masih mesra walaupun di usia senja"

Lalu, ibu memandang aku dengan pandangan lembut penuh bermakna. Sangat manis senyuman ibu. Selepas menghirup teh panas, ibu menghela nafas panjang.

"Orang pada zaman dahulu selalunya bercinta selepas bernikah"

Jawapan ibu pendek sahaja. Beliau masih memandang aku.

"Orang dahulu, selepas bernikahlah baru berkenalan dengan suami. berbual tapi masih malu-malu, berkongsi rasa, lebih manis dan indah rasanya sebab itu dapat dilakukan tanpa rasa ragu kerana perhubungan itu halal. Semasa itulah adanya debaran pandangan mata, rindu-rinduan yang mengasyikkan, sayang menyayang penuh getaran.Orang sekarang ni, belum diijabkabul lagi sudah semua nak dikongsikan, sayang menyayang tanpa segan-segan, apatah lagi berpegang-pegang. Ijab dan Qabul hanya sekadar menghalalkan saja perbuatan sebelum ini. Rindu-rinduan mungkin sudah tidak ada kerana masa bercinta sudah puas dan jelak merindu. Nak berbual-bual pun begitu juga, tak ada apa nak dibualkan lagi kerana sudah bertahun-tahun berbual. Itu bukan tidak bahagia, sayang. Itu tandanya manisnya sudah kering kontang.Tambah parah jikalau sudah ditambah dengan masalah hidup yang lain. Perkahwinan adalah ibarat kita duduk di dalam bahtera. Kita perlu kemudikan bersama-sama." ujar ibu panjang lebar.

Kali ini aku pula yang menghela nafas panjang. Jawapan ibu mmg seperti yang pernah kubaca di majalah dan aku mendengar dari org lain, tapi bila mendengar dari ibu 'feeling' nya lain macam sikit.
Kemudian, ibu menyambung lagi sebelum bangun untuk berwuduk dan solat Asar,

"Kadang-kadang jangan cuba menyatakan masalah itu puncanya dari org lain mahupun kita adalah mangsa keadaan yang terseksa. Cuba renung kembali masa2 lalu, apakah masalah itu puncanya dari kita sendiri?"

Kata-kata terakhir itu membuatkan aku termanggu sendiri. Jangan sesekali menyalahkan keadaan sekiranya kita dihantui berbagai kesukaran di dalam kehidupan. Ibu sangat hebat. Aku akui, aku sangat sukar berkongsi rasa dengan ibuku sendiri. Aku suka berdiam memendam perasaan sendiri. Namun, ibu sangat handal dalam 'serkap jarang' nya terhadap aku. Selalunya dia tahu apa-apa yang tidak aku zahirkan.

Walaupun ada masa-masanya aku sangat perlukan ibu, namun aku sekeras hatinya tidak mahu menunjukkannya. Aku berlagak biasa. seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Wanita Sakti Bernama IBU

Namun, ibu adalah wanita sakti yang Allah kurniakan kepada kita. Pandangannya mendamaikan, sentuhannya menenangkan. Suaranya ibarat syair indah yang menyembuhkan.

Kasih sayang ibu adalah kasih sayang yang tiada tolok bandingannya. Tiada kasih sayang tulus sehebat kasih ibu.

Selepas mencintai Allah dan Rasul, ibulah insan yang patutnya kita cintai selepas itu.

Tidak pernah berkongsi rahsia

Kadangkala aku dihimpit rasa sesal yang terbit di relung hatiku. Aku jarang bercakap dengan ibu semasa remajaku. Aku kasar dan suka berdiam. Aku selalu menunjukkan perasaan dengan tingkah lakuku dan tiada suara yang aku lontarkan. Apakah kecil hatimu pada tingkah lakuku ibu?

Apa-apa yang terjadi , kehidupan aku, perasaan aku, aku tidak langsung ceritakan pada ibu. Namun ibu selalu menelefon aku tapi aku kadang2 tidak tahu apa yang nak dibualkan dengan ibu. Sedihkah ibu dengan aku?



Selesai solat, ibu kembali ke tempat duduknya semula. Lembut suara dia bertanya apakah maksud di sebalik pertanyaan ku.

Aku menyatakan bahawa aku hanya ingin tahu. Tiada apa-apa maksud di sebalik itu. Namun ibu menyatakan sesuatu. Sesuatu yang aku ingati dan ingin abadikannya di sini :

" Jangan harapkan insan sempurna sebab tidak semua manusia sempurna. Jangan salahkan Allah dengan jodoh yang telah Dia berikan . Allah itu sempurna. Dia tidak pernah membuat kesilapan memberikan jodoh yang salah kepada kita. Jodoh yang Allah berikan itu dah terbaik. Cuma kitalah yang harus belajar sesuaikan diri dengan menutupi kekurangan dan saling melengkapi. Jangan pernah ingat perkahwinan satu kesilapan. Kita sendiri yang tersilap sebenarnya"

Aku mengangguk lembut namun masih keras hatiku untuk menumpahkan airmata dari mata yang sudah pun berkaca.

Suara ibu itu penyembuh. Dialah wanita sakti yang sering menyembuhkan batinku dengan suaranya yang lembut. Semoga ibuku sentiasa dirahmati Allah dan dalam keadaan sihat hendaknya.

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku dan dosa kedua ibu bapaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani aku sewaktu aku masih kecil. Ameen...

Alhamdulillah..
Thank You Allah for my Mother

No comments:

Post a Comment

so, nak komen tak??

" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"