Teman Bicara


Apakah yang sesuai ku gambarkan situasi ini? perasaan apakah yang sebetulnya untukku luahkan? Perlukah aku untuk menyatakannya? Aduhai... komunikasi antara kami sudah lama mati. Aku tidak tahu apa yang ada di dalam hatinya dan mungkin juga dia sudah lama kontang dengan apa yang ada di dalam hatiku. Aku perlukan teman untuk berbicara. Aku sepi walaupun berada di dalam riuh rendah dunia. Seolahnya aku hanya berbicara dengan komputer bisu yang tiada ertinya. Malahan, aku seolah sedang terjerit ketika menuliskan ini. Namun, tanpa suara .. ..

Aku rindu, ketika aku menatap tulisan insan itu jiwaku berbunga tenang. Aku seperti sedang berbicara dengan dia. Sepertinya apa yang ditulis itu sedang berbicara dengan diriku. Tika dia menyepi, aku sayu.. lalu ku lewati hasil nukilannya berkali kali .. Di mana hatiku boleh berbicara lagi? Segala apa yang ditulisnya, sarat dengan jawapan pada persoalan manusia, aku keliru dengan perasaanku..kenapa aneh benar? . Mungkin juga aku tertarik dengan kuatnya jiwa dia di dalam menyampaikan sesuatu?. Lantas aku cuba hapus apa yang ada di sebalik kekagumanku. Aku hanya tidak mahu terus membaca.
Aku keliru.
Entah kenapa, jariku masih ke situ jua..Apakah yang bermain di dalam hatiku? Apakah aku terlalu sunyi lantas hanya boleh melepaskannya dengan hanya membaca tulisan bisunya itu?. Atau aku hanya mampu memendam keresahan dan kesunyian ini sendiri-sendiri tanpa mengungkapkannya dengan bicaraku?
Hatiku, kamu sangat sukar diramal.Kamu sangat gentar meluah kebenaran akan lukamu yang telah lama berdarah. Kenapa kamu beri ruang utk kesepian?...

Insan itu, setiap nukilanmu menerbitkan rasa luar biasa di hatiku. Maafkan aku, mungkin aku cuma mengagumimu .. Insan itu, aku cuma tidak tahu.. Maafkan aku  ..

6 comments:

  1. Juwita,
    Pertama, saya melihat seolah-olah, setiap dari kita manusia akan mengalami satu situasi di mana kita mula berasa terasing dan sunyi sedangkan pada hakikat sebenarnya, dunia itu hiruk pikuk disekeliling kita.

    Saya bercakap mengenai diri sendiri terlebih dahulu. Hampir sepuluh tahun yg lepas, ketika sebelum dan selepas baru mendirikan rumahtangga, saya mula merasakan ada sesuatu yg kosong di dalam diri saya. Seolah2 saya merupakan seorang insan yg boleh dilihat dan dipandang wujud secara zahirnya, tetapi pada sisi apa yang dirasakan di dalam hati dan perasaan, saya terasa wujudnya rongga2 yg sgt mengelirukan.

    Ketika itu usia saya 27-28 tahun. Saya mula suka menyendiri dan termenung danmula berfikir dgn satu soalan yg berulang2 diungkapkan di dalam hati, "Apa yang tak kena dengan aku ni?"

    Rimas mencari punca, lalu saya sentiasa mengidamkan satu saat di mana saya boleh terbang mencelah di dalam kegelapan malam sepertimana superman melakukannya dan terbang dengan pantas dan tinggi meninggalkan kesibukan kota dan mencari sebuah pulau kecil yang tiada manusia lain di dalamnya. Saya ingin satu saat supaya saya boleh menyendiri di situ hanya ditemani cahaya bulan dan lindungan pokok dari hujan.

    Tetapi malangnya, perkara tersebut hanya boleh berlaku di dalam imaginasi saya. Lalu saya memujuk keadaan dengan memulakan satu tabiat yang sahabat2 saya dan orang disekeliling saya katakan pelik. Pulang dari kerja, selepas menunaikan solat Isya', saya akan menunggang motorsikal berbatu2 jauhnya tanpa berhenti semata2 untuk bersendiri di atas perjalanan motosikal tersebut. Tiada destinasi ditetapkan, hanya saya dan motorsikal yang bergerak supaya tubuh saya dapat dibelai angin yg seolah2 memujuk hati dan perasaan yang masih lagi keliru dgn apa yang sedang berlaku. Sekurang2nya, apa yg mungkin dirasai superman semasa terbang itu, dapat saya rasakan melalui hembusan angin yang deras memukul ketika motor itu bergerak.
    Saya tidak berhenti tetapi terus bergerak.

    Ketika jasad sedang bergerak, fikiran saya terawang2 mencari jawapan kepada persoalan yang bermain di minda? Saya cuba mencari jawapan dengan bertanyakan kepada manusia2 lain.

    Bermacam2 cadangan diberikan merangkumi semua aspek kehidupan. Ada yg menyatakan bahawa saya sedang mengalami midlife crisis. Ada yang mengatakan bahawa perubahan dunia dari sisi kebebasan semasa bujang dan berbeza dunia semasa rumah tangga menyebabkan situasi itu berlaku.

    Mereka mengatakan ianya fasa penyesuaian. Tapi saya tak merasakan begitu.

    Saya terus mencari jawapan lagi sehinggalah saya teringat dengan kisah Rasulullah s.a.w. juga pernah menyendiri di Gua Hira’. Rasulullah s.a.w. di dalam sirahnya, menyatakan bahawa baginda pada ketika baginda mengambil keputusan menyendiri di Gua Hira’, baginda juga turut merasakan kekosongan dan merasakan dunia Mekah yang hiruk pikuk disekeliling baginda tidak menawarkan apa2 kebahagiaan kepada baginda.

    Lantas baginda mahu menyendiri. Isterinya yang lebih matang memahami dan memberikan sokongan dan membantu baginda melalui fasa perubahan di dalam kehidupannya.

    (samb. di bawah)

    ReplyDelete
  2. Melalui kisah ini, saya melihat, bahawa bukanlah kebahagiaan materialistik dan sebagainya yang mengganggu Rasulullah s.a.w.. Tetapi, pada ketika tersebut di dalam kehidupan baginda, bahagian sisi spiritual baginda mula menuntut baginda untuk memenuhi takdir yang telah ditetapkan. Baginda kaya bersama isterinya Siti Khadijah r.a., tetapi kekayaan itu tidak memberikan kepada baginda apa yg dicarinya. Saya mengkaji tentang perkara ini dan akhirnya saya temui jawapan kepada persoalan kenapa saya berasa kosong, sepi dan berongga sedangkan saya mempunyai semuanya yang saya rasa semua manusia memburunya.

    Pada ketika itu barulah saya sedar bahawa sisi ruhani di dalam diri saya pada ketika itu menuntut untuk saya memenuhi janji yang pernah dibuat antara Ruh saya dengan Allah sebelum ini. Dari sana saya mula faham mengenai perjanjian ruh dan akan muncul ketika di dalam kehidupan seluruh manusia bila sampai masanya. Ia bermula dengan merasa sunyi dan sepi dan mahukan kita semua menyendiri bagi mencari jawapan. Memahami keadaan ini, saya cuba kembali kepada Allah. Memang selama ini saya bersolat dan membaca al Qur’an, tetapi tuntutan kepada memenuhi perjanjian antara ruh hamba dengan PenciptaNya menuntut bahawa seluruh sisi kehidupan dan hayat manusia hendak diabadikan menurut kehendak Dia yang Maha Esa. Pada ketika itu saya faham bahawa apa yang saya lakukan selama ini tidak lebih dari sebuah facade dan yang superficial tetapi tidak terisi dgn pengisian aspek rohani yang sepatutnya. Saya mula melakukan perubahan sedikit demi sedikit. Lebih banyak jatuh dari bangun, lebih banyak tersadung dari memecut lari. Tetapi saya tidak mahu berhenti dan mahu terus bergerak.

    Dan itulah juga yg dialami oleh setiap manusia lain. Tidak kira lelaki atau wanita. Tidak kira sang suami atau isteri. Bila perasaan itu muncul, mereka akan mula sepi dan lebih suka menyendiri. Ia memudaratkan jika sisi perjanjian ruh itu tidak dipenuhi. Bagi yang tidak faham, mereka akan cuba mengubatinya dengan hiburan dan melakukan perkara2 yg dirasakan mereka dapat mengubati sisi sunyi terbabit. Percayalah ia satu remedi yg tidak akan memberikan penyembuhan.

    (samb. di bawah)

    ReplyDelete
  3. Saya cuba mengubatinya dengan membaca dan mula mendalami al Qur’an kerana saya yakin bahawa bagaimana solat itu dapat ditegakkan jika al Qur’an yang menjadi tiang penyokongnya tidak diperkemaskan pemahamannya terlebih dahulu. Solat yang dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar hanya dapat ditegakkan bilamana ajaran Islam itu sepertimana yg terkandung di dalam al Qur’an difahami. Ia dijelaskan di dalam ayat berikut di dalam surah al Ankabut ayat 45.
    Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahikan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al Ankabut 45)
    Kita biasa mendengar para ustaz hanya menyebut solat itu dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Sayang sekali mereka tidak pula mahu menyebut solat yang bagaimana yg dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar dengan melupakan permulaan ayat 45 surah al Ankabut.

    Dan hanya menerusi solat dalam kualiti inilah, pertolongan dari Allah sepertimana yang kita harapkan dan dijanjikan kepada kita akan sampai..

    Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya. (al Baqarah 45)

    Bersabarlah, dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah… (an Nahl 127)

    Rasulullah s.a.w. dan rasul2 serta nabi2 yang lain juga mengalami situasi hambatan kesunyian yang membawa mereka kepada wahyu Allah. Kita manusia biasa juga tidak terkecuali dengan keadaan itu. Ketahuilah Juwita, bahawa ketika kesunyian dan kesepian itu mula hinggap kepada kita, ia bukanlah midlife crisis atau masalah2 lain yang cuba menerpa dalam hidup kita. Ia merupakan satu calling yang menunjukkan sisi ruhani kita sedang mahu dan ingin kembali memenuhi butir2 perjanjian dia dengan Allah.

    Semua manusia akan melaluinya. Suami, isteri, ibu dan anak akan melaluinya. Tandanya muncul apabila kita mula merasakan kosong dan lebih suka bersendiri. Bersendiri bukanlah bererti mereka disekeliling kita membenci dan tidak suka dengan kehadiran kita, tetapi mereka bersendiri kerana mereka cuba memahami apa sebenarnya yang sedang hinggap disanubari mereka.

    Saya telah melaluinya seperti yang telah saya ceritakan. Semua insan akan melaluinya dan perlu menanganinya dengan cara yg betul. Maaf kerana membuat blog di dalam blog Juwita. Sekadar berkongsi apa yg pernah saya lalui. Jika ia bermanfaat, syukur kepada Allah. Jika ia tidak relevan, jadikan ia sebagai satu cerita memenuhi masa yg terluang. Semoga kita semua mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah pada setiap saat dan masa.. Ameen..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saudara, terima kasih dengan segala nasihat yang saudara berikan walaupun saya x menjangkakan langsung saudara membacanya.

      Maafkan saya, maybe saya cuma meluah sedikit konflik hati yg tak dapat saya fahami.

      Saudara, saya fahami semua yang cuba saudara sampaikan. Terima kasih, Cuma saya x tahu apa mahu dituliskan di sini setelah saudara sudah menulisnya dengan terang dan jelas. ALLAH lah sebaik tempat mengadu. Bukan komputer bisu ini. Terima kasih sekali lagi :)

      Delete
    2. "Ketahuilah Juwita, bahawa ketika kesunyian dan kesepian itu mula hinggap kepada kita, ia bukanlah midlife crisis atau masalah2 lain yang cuba menerpa dalam hidup kita. Ia merupakan satu calling yang menunjukkan sisi ruhani kita sedang mahu dan ingin kembali memenuhi butir2 perjanjian dia dengan Allah."

      Terima kasih 'Insan itu' .. ..

      :)

      Delete
  4. Juwita,
    'Insan itu' ingin mengembalikkan segala puji kepada Allah dan juga ingin menyatakan syukur di atas kurniaan sokongan dari insan-insan istimewa yang menyokong serta memberi kekuatan dan kerap kalinya inspirasi dari sudut pandang yg terkadangnya diluar jangkauan perspektif seorang manusia lelaki.. Semoga Allah memberikan segala kekuatan dan keselamatan kepada Juwita dan keluarga serta muslimin dan muslimat pada setiap saat dan masa.. Ameen Ya Rabbal 'alameen..

    ReplyDelete

so, nak komen tak??

" bila bahagia mula menyentuh seakan ku bisa hidup lebih lama..namun harusku tinggalkan cinta ketika ku BERSUJUD"